Thursday, April 18, 2013

ORANG RAJIN MENANG LAGI


Zaheer atau lebih dikenali sebagai Saddam Hussein baru berumur 23 tahun. Datang ke Malaysia dengan sebuah syarikat yang menawarkan khidmat potong rumput di sekitar Subang Jaya. Kerja beliau dari 8 pagi sehingga 2 petang setiap hari dan dibayar sebanyak RM1000 sebulan dengan cuti setiap hujung minggu. 

Beliau menggunakan masa selepas 2 petang untuk memotong rumput dan berkebun di rumah-rumah sekitar USJ. Tiada harga tertentu ditetapkan tetapi purata setiap hari antara 2 petang hingga 7 malam beliau mampu untuk memotong rumput di 5 buah rumah bersaiz sederhana. Puratanya beliau dibayar sebanyak RM25 untuk sebuah rumah. Anggaran beliau memperolehi sekitar RM125 sehari (hari biasa) dan RM300 sehari untuk hari hujung minggu.

(Ini hanya congakan saya sahaja dari apa yang saya tanya beliau tentang kekerapan, waktu kerja dan purata pembayaran etc)

Anggaran pendapatan seminggu beliau RM625 (weekdays) + RM600 (weekend) = RM1225 seminggu (untuk kerja partime ini).

Anggaran pendapatan sampingan sebulan = RM4,900
Pendapatan kerja tetap sebulan = RM1000
Anggaran Pendapatan Sebulan RM5,900

Dengan rumah berkongsi 10 orang, kenderaan hanya basikal dan beliau telah tinggal di Malaysia selama lebih 3 tahun. Saya rasa beliau mempunyai simpanan kewangan yang lebih banyak berbanding dengan kebanyakan graduan universiti ternama luar negara yang telah bekerja di Malaysia selama 3 tahun.

Fikirkannya :)

Pemikir Pelik oleh Saiful Nang




+

CERITA ORANG RAJIN LAGI.

Ramai pelajar universiti yang email saya sebelum ini minta penajaan aktiviti pelajar. Seperti biasa, saya kurang berminat kerana sebab-sebab tertentu yang panjang untuk saya ceritakan. Tapi saya lebih berminat untuk ceritakan hanya SATU aktiviti pelajar universiti yang saya bantu sekitar 4 tahun lepas. Suratnya berlainan dan mereka tidak meminta tajaan sebagai TAJAAN tetapi menggunakan perkataan "Pelaburan".

Saya berikan tajaan walaupun itu dikatakan sebagai pelaburan untuk mereka sekumpulan pelajar dari sebuah kelab di sebuah universiti awam. Katanya mereka perlukan modal untuk perniagaan semasa konvokesyen dan bersama surat mereka itu, mereka nyatakan secara ringkas prospek perniagaan mereka. Saya berminat dengan cara mereka yang bukan meminta-minta yang menyebabkan dipandang tinggi. Lalu saya serahkan sebanyak RM1000 kepada mereka.

Seminggu selepas konvokesyen berakhir, mereka melawat saya dan mengemukakan kepada saya sebuah envelop berisi tunai RM2200 dengan nota di envelop tertulis "RM1000 modal, RM1200 untung".

Saya tanyakan mereka, apa yang mereka dapat? Mereka jawap mereka jadi pandai berniaga kerana rupanya modal mereka dari saya lebih kurang 1/5 dari modal keseluruhan mereka (susah nak dapatkan investor katanya). Sebahagian mereka guna wang biasiswa mereka sendiri dan sebahagian dari orang seperti saya. Dengan modal yang sedikit mereka menggunakan khidmat lori sayur pasar borong untuk bawa bunga-bunga di Cameron Highland ke Pasar Borong Selangor dan hanya seorang sahaja yang menguruskannya dari Cameron Highland. Dari pasar borong itu mereka ambil dengan kereta beberapa kali perjalanan. Dengan menggunakan bahan-bahan terpakai dan baru mereka menggubah bunga-bunga itu menjadi jambakan tahniah kepada graduan-graduan. Yang menariknya, mereka ini semuanya pelajar lelaki dan kesemuanya berbangsa Melayu kecuali 2 orang Cina dan seorang Iban.

Saya tanya sekali lagi, selain itu apa yang mereka dapat dari segi keuntungan material? Mereka menjawap, mereka perolehi untung sebanyak RM20,000 bersih dan mengagihkan bakinya seperti yang dijanji kepada penyumbang sekurang-kurangnya keuntungan 50% akan dipulangkan (saya pun tak harap sangat). Tetapi mereka berikan saya pulangan lebih 100%.

Saya senyum dan seronok menerima envelop yang diberi sambil mengira tunai di dalamnya. Saya keluarkan RM1000 dan masukkan ke saku saya dan memulangkan baki RM1200 itu kepada mereka dengan pesanan...

"Pergi cari universiti lain dan teruskan lagi ikhtihar kamu".

Selepas itu mereka sering berhubung dengan saya melalui Yahoo Messenger dan selepas itu juga mereka berjaya menjalankan aktiviti perniagaan mereka itu di beberapa universiti awam yang lain. Tetapi kemudian YM saya tidak dapat dibuka sampai sekarang dan saya tak hiraukan kerana sudah ada facebook. Saya terputus hubungan dengan mereka semua. Kalau betul congakan saya, mereka pasti sudah grad sekarang ini.

Bila teringat cerita itu, saya cuba ceritakan semula di sini kerana saya berkenan dengan mereka semua ini. SEKALIPUN JIKA MEREKA GAGAL DALAM PELAJARAN MEREKA, saya mahu orang begini untuk bekerja bersama-sama saya mahupun menjalankan perniagaan sebagai rakankongsi. Jika anda yang saya maksudkan dalam cerita di atas ini sedang membaca coret ini, saya rasa anda pasti tahu siapa anda dan saya sedang mencari anda.

Mungkin ada perniagaan yang mampu kita usahakan bersama ;)

SAIFUL NANG
Orang Pelek

No comments:

Post a Comment